ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan kakitangannya di pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling untuk menawarkan khidmat kaunseling kepada penduduk yang trauma akibat tragedi kepala air.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, kerajaan negeri memahami bencana yang berlaku mengakibatkan kesan emosi yang cukup berat kepada mangsa sejak kejadian pada 4 Julai lalu.
“Kakitangan JKM memang menjaga mangsa di PPS berkenaan termasuk dalam kejadian banjir yang terbaharu kelmarin dan memang ada unit kaunseling ditempatkan di situ selain tugas kita mengagihkan barang keperluan untuk mangsa.
“Kita memahami situasi mereka, siapa yang tidak merasa trauma dengan keadaan yang terpaksa dilalui mereka apabila banjir berlaku kerana ada yang hilang harta benda semua,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian terbaharu di Kupang, Baling, Khamis lalu, sebanyak 53 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.
Tambah Halimaton Shaadiah, kakitangan JKM di PPS berkenaan juga akan berfungsi menyediakan pelbagai khidmat bantuan lain untuk penduduk dalam usaha meringankan beban mereka.
“Selain kakitangan, kita turut menempatkan sukarelawan di PPS untuk membantu mangsa termasuk agih bekalan makanan dan mengemas kawasan itu,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang ingin menyumbang pakaian terpakai memastikan ia dalam keadaan baik dan masih digunakan.
“Jangan jadikan tempat ini sebagai lokasi nak buang pakaian yang tidak elok kerana itu menambahkan beban petugas dan mangsa,” katanya.
Tragedi kepala air di Gunung Inas pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa penduduk serta mengakibatkan 17 kediaman musnah di Kampung Iboi dan sekitar Kupang.-UTUSAN










