KUALA TERENGGANU: Jenazah bekas calon Bebas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan PRU13, Tok Mun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol di sini, pada pukul 10.45 pagi ini.
Jenazah Tok Mun atau nama sebenarnya, Maimun Yusof, 103, sebelum itu disolatkan di Masjid Kampung Atas Tol di sini, kira-kira pukul 10 pagi.
Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Kampung Sungai Atas Tol pada pukul 3.30 petang semalam akibat masalah kesihatan dan sakit tua.
Sementara itu, seorang anak saudara arwah, Megat Shamsuddin Megat Yusof berkata, Tok Mun adalah seorang yang mempunyai semangat luar biasa dalam kalangan keluarga terdekat.
“Ketika di bawah penjajahan British, arwah ibu saudara (Maimun) dan suaminya, Abdullah, adalah individu berpengaruh dalam masyarakat serta ada hubungan baik dengan golongan istana. Kehadiran tentera Jepun pada awal 1940-an menyebabkan berlaku krisis dan mereka berdua dipesan oleh British dan pihak istana agar mempertahan Tanah Melayu dalam apa jua cara sekalipun.
“Amanah itu yang dipegang oleh arwah ibu saudara saya dan menceburi bidang politik bukan bermaksud mahu menjadi ahli politik sebaliknya salah satu tanda dia sayangkan negara. Semangatnya cukup luar biasa sejak zaman muda malah berusaha melawan sakitnya sebelum meninggal dunia,” katanya.
Maimun mencuri tumpuan gelanggang politik tanah air apabila bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai calon Bebas pada PRU12 dan meraih 685 undi.
Lima tahun kemudian, Maimun sekali lagi menjadi calon bebas di Parlimen sama namun sekadar mendapat 182 undi. – UTUSAN










