JOHOR BAHRU: Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang sejak 29 Oktober tahun lalu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, malam ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu Allahyarham, Asmawati Kadir, 55, ketika dihubungi sebentar tadi.
Terdahulu, Asmawati berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi membuat ujian pemadanan asid deoksiribonukleik (DNA) untuk dibandingkan dengan rangka dalam sebuah kereta yang ditemukan dalam sungai di Pahang, baru-baru ini.
“Tadi sudah pun dibuat ujian pemadanan DNA seperti yang diminta. Alhamdulillah, jenazah Muhammad Iman boleh dibawa pulang hari ini.
“Selepas selesai jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan, kami akan bawanya pulang untuk dikebumikan di Pasir Gudang. Insya-Allah, lepas Asar kami akan bertolak,” katanya.
Kelmarin, polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina oleh seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga mangsa.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular dalam media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai membantu mengesan abangnya selepas gagal dikesan. – UTUSAN