PETALING JAYA: Perasaan tidak sabar untuk memulakan ibadah wukuf di Arafah yang dijangka 9 Julai ini membuatkan jemaah menyediakan beberapa persiapan dari segi kelengkapan ketika berada di sana.
Persiapan terakhir dalam kalangan jemaah haji menjelang wukuf di Arafah dinanti-nantikan berbekalkan barangan yang akan memudahkan urusan ibadah dan ilmu ibadah haji itu sendiri.
Jemaah haji dari Ampang, Selangor, Umi Kalthum Hussin, 34, berkata, persiapan yang dibuat pastinya dimulakan dengan ilmu untuk memastikan ibadah haji sempurna.
“Persiapan ilmu ibadah bagi saya sangat penting bagi memastikan agar semua rukun dan wajib haji kami dapat laksanakan dengan sempurna supaya mendapat haji Mabrur.

“Pusat khidmat pelanggan dan juga maktab disediakan untuk kami rujuk kepada ustaz dan ustazah sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan haji, dam atau ibadah korban,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Umi Kalthum, di samping persediaan ilmu, kesihatan fizikal dan mental juga amat penting buat para jemaah.
“Kami dinasihatkan untuk berehat dengan secukupnya menjelang hari wukuf. Kesihatan fizikal bermula dengan pemakanan yang sihat dan seimbang, air secukupnya dan suplemen multivitamin bagi memastikan badan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
“Berjalan kaki ke Masjidilharam dari hotel, kami jadikan ia sebagai latihan senaman supaya kami bersedia dan terbiasa berjalan jauh terutama ketika berada di Mina untuk melontar nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Umi menyatakan cabaran utama yang bakal dihadapi adalah cuaca dan juga persekitaran yang mampu mencecah 50 darjah celsius.
“Sepanjang perjalanan kami dari hotel ke Masjidilharam, alhamdulillah ada yang menghulurkan botol air minuman sejuk untuk para jemaah yang melalui kawasan tersebut.
“Ini dapat mengurangkan risiko terhadap strok haba. Jadi kami dapat hilangkan kehausan ketika berjalan kaki dan mengekalkan hidrasi dalam badan,” katanya. – UTUSAN