Jemaah kandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 direman

Jemaah kandas: Pemilik agensi pelancongan antara 5 direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilik sebuah agensi pelancongan dan empat lagi individu ditahan reman tiga hari bagi siasatan lanjut berhubung kejadian kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penahanan kesemua suspek dilakukan polis Kuala Lumpur semalam.

Namun, semua suspek berkenaan diserahkan polis Kuala Lumpur kepada Kontinjen Selangor, semalam untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek direman hingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan, kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira pukul 9 malam.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

Jelas beliau,sebanyak 23 laporan polis diterima di seluruh Kuala Lumpur berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Sebelum ini, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan diuruskan agensi terbabit terkandas di KLIA. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN