PETALING JAYA: Polis Selangor sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu arahan Bukit Aman sekiranya terdapat keperluan untuk melanjutkan perintah reman yang akan tamat esok.
“Siasatan dilakukan di beberapa kontinjen termasuk Selangor. Jika ada arahan untuk sambung reman atau serahkan suspek pada kontinjen lain, kita akan buat.
“Buat masa ini, kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul bukti berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pemilik sebuah agensi pelancongan dan empat lagi individu ditahan reman tiga hari hingga 12 Julai ini.
Kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan Sabtu lalu di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira pukul 9 malam.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.
Sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.
Sebelum ini, kira-kira 380 bakal jemaah haji yang menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan diuruskan agensi terbabit dilaporkan terkandas di KLIA. – UTUSAN