Jemaah haji terkandas: 72 laporan kerugian hampir RM4 juta 

Jemaah haji terkandas: 72 laporan kerugian hampir RM4 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis setakat ini menerima 72 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM4 juta.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, tiga agensi berlainan itu membabitkan kes penipuan haji dan umrah furada.

Katanya, kesemua 72 laporan polis itu dibuat di 10 negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit.

“Laporan itu melibatkan 24 laporan di Kuala Lumpur, 14 laporan di Selangor, 13 laporan di Pahang dan masing-masing lima laporan di Johor, Perak serta Kelantan.

“Selain itu, kita turut menerima tiga laporan di Kedah dan masing-masing satu di Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

NOORSIAH MOHD. SAADUDDIN

Menurutnya, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka daripada 72 laporan polis dibuat mangsa.

Jelasnya, jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Pahang iaitu RM1.6 juta diikuti Kuala Lumpur (RM1.2 juta) dan Selangor (RM440,000).

“Selain itu, Kelantan dilaporkan mencatatkan kerugian RM209,000, Johor (RM176,000), Perak (RM171,000), Kedah (RM48,000), Terengganu (RM38,000), Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000),” katanya.

Terdahulu, lima individu termasuk pengendali haji antara direman polis bagi membantu siasatan kes seramai 300 jemaah haji didakwa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini minggu lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN