BALING: Jambatan yang menjadi laluan utama penduduk berulang-alik di Kampung Iboi, di sini yang roboh akibat tragedi kepala air akan segera dibaiki bagi memudahkan mereka.
Namun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jambatan sementara akan dibina terlebih dahulu sebelum pembinaan struktur kekal dilakukan kelak.
Katanya, jambatan berkenaan menjadi penghubung untuk penduduk menghantar anak-anak mereka ke sekolah selain untuk ke masjid yang terletak di seberang sungai di situ.
“Kita buat jambatan sementara dahulu kerana kalau hendak buat jambatan konkrit yang siap sepenuhnya akan memakan masa, sedangkan penduduk amat memerlukan laluan itu,”katanya selepas meninjau kesan banjir di sekitar kampung itu, semalam.
Struktur asal jambatan yang roboh dalam tragedi itu terputus dua sehingga serpihan binaanya dihanyutkan air deras sehingga 30 meter daripada kedudukan asal.
Rata-rata penduduk mendakwa, kejadian itu dipercayai berpunca selepas tadahan yang dibina untuk projek durian musang king di Gunung Inas pecah setelah berlaku hujan lebat lebih tiga jam bermula pukul 2 petang, Isnin lalu.
Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata, segala bantuan dan kerja berkaitan pembaikan atau pembinaan infrastruktur serta rumah yang rosak akibat bencana itu akan dikoordinasi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).
“Kita bersetuju semua sekali dikoordinasi oleh ICU dan semua agensi lain akan ikut koordinasi ICU.
“Kementerian juga mempunyai peruntukan segera untuk kerja baik pulih kemudahan yang terjejas kerana banjir di sini, namun memerlukan penelitian terperinci sebelum meluluskan jumlah peruntukan itu,” katanya.
Beliau berkata, pihak GiatMara yang berada di bawah kementerian itu akan turut membantu membaik pulih rumah penduduk yang rosak akibat bencana itu yang dianggarkan berjumlah kira-kira 70 buah rumah.
Menurut Mahdzir, tiada premis pihaknya seperti tabika Kemas terjejas dalam bencana itu, kecuali terdapat rumah kakitangan Kemas terlibat dengan banjir berkenaan. –UTUSAN










