KUALA LUMPUR: Rakyat yang bakal berdepan dengan kenaikan harga ubat di pasaran sehingga hujung tahun ini menuntut kerajaan menjadikan bahan itu sebagai barang kawalan.
Antara jenis ubat terkesan adalah seperti paracetamol yang sering digunakan orang ramai bagi rawatan demam dan sakit yang ringan, vitamin C, ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.
Merujuk laman portal Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, harga runcit paracetamol di pasaran adalah berbeza iaitu di antara RM0.06 sehingga RM200 namun kadarnya bergantung kepada jenama dan jenis serta kuantiti pembungkusan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang menyifatkan situasi peningkatan harga ubat pada saat ini sebagai satu luar biasa dan pertama kali dalam sejarah negara.
Beliau menambah, keadaan itu dijangka bertambah buruk khususnya di Sabah dan Sarawak serta kawasan pendalaman yang menyaksikan pertambahan harga kerana kos pengangkutan di samping bekalan ubat yang terhad serta permintaan dan penawaran tinggi ekoran peningkatan pelbagai penyakit sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun beliau tidak dapat memperincikan jumlah peningkatan harga dan jenis ubat terlibat kerana perkara itu bergantung kepada situasi semasa.
“Harga ubat naik bukan sahaja perang Ukraine dan Rusia, tetapi dasar sifar Covid-19 oleh Kerajaan China yang menjejaskan kemasukan import serta penularan pelbagai wabak kebelakangan ini merupakan faktor mempengaruhi harga ubat-ubatan di pasaran.
“Kadar di setiap lokasi berbeza, mungkin di Sabah dan Sarawak lain, di Lembah Klang lain. Jika melihat keadaan sekarang, mungkin kenaikan harga berterusan lebih lama meskipun pada awalnya kita menjangkakan selesai pada bulan depan.
“Namun sukar untuk menentukan peratusan kenaikan harga dan jenis ubat terlibat kerana segalanya bergantung kepada rantaian kos seperti pengangkutan dan penawaran dan permintaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, harga ubat-ubatan di pasaran berkemungkinan akan meningkat ekoran kenaikan kos bekalan dan kos bahan mentah bagi menghasilkan ubat ketika ini.
Beliau menjelaskan, kementeriannya sedang memperincikan pelaksanaan kawalan melalui mekanisme ketelusan harga ubat yang kini dalam penyediaan memorandum untuk kelulusan jemaah menteri.
Dalam pada itu, Amrahi menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa bertindak segera dalam memantau harga ubatan di pasaran khususnya di klinik swasta yang tidak ditetapkan harga sebenar.
“Jika di farmasi, mungkin rakyat boleh sedar harga tetapi bagaimana pula di klinik swasta apabila harga tidak dinyatakan,” katanya.
Beliau kemudian meminta orang ramai untuk mendapatkan rawatan dan bekalan ubat di klinik kerajaan yang harga jauh lebih rendah berbanding swasta.
Menurut Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr. Kuljit Singh, tiada kenaikan harga ubat yang berlaku di hospital swasta memandangkan pihaknya masih mengenakan kadar yang lebih rendah.
Bagaimanapun katanya, sebarang kebaikan harga ubat harus diterima memandangkan situasi semasa yang memberi kesan kepada kenaikan kadar.
“Namun kita (hospital swasta) masih mengekalkan harga sama bagi memberi kadar kos kesihatan tidak membebankan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Dr. Lee Nan Sang menggesa kerajaan untuk mewujudkan satu mekanisme untuk mengawal harga ubat memandangkan terdapat farmasi menjual dengan jumlah tidak munasabah.
Katanya, ubat kini seolah seperti barang keperluan penting apabila amat penting untuk merawat seseorang yang ditimpa penyakit khususnya ketika penularan Covid-19 dan Influenza.
“Ada pihak menjadikan alasan inflasi untuk menaikkan harga barangan termasuk ubat-ubatan, jadi perkara ini perlu dibendung menerusi satu mekanisme kawalan harga yang menetapkan paras syiling harga.
“Sebab itulah ada farmasi a harga lain, farmasi b harga. Ini termasuk lagi membabitkan klinik-klinik swasta,” katanya.
Sebelum ini, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) selaku pengeluar ubat menjangkakan harga ubat-ubatan untuk bekalan dalam negara dijangka meningkat antara lima ke tujuh peratus tahun ini berdasarkan faktor semasa. – UTUSAN










