PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu mencari isu baharu untuk membolehkan Pakatan Harapan (PH) terutama PKR menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berhenti mengitar semula isu lama seperti kontroversi National Feedlot Corporation (NFC).
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kemunculan Rafizi secara aktif dalam politik negara sepatutnya perlu memberi impak kepada ahli-ahli PKR dan rakyat keseluruhannya yang lebih mementingkan soal kehidupan mereka berbanding isu-isu politik lapuk.
Beliau berkata, walaupun diakui isu NFC merupakan isu nasional, namun rakyat hari ini lebih memikirkan perkara-perkara melibatkan kenaikan harga barang, kos sara hidup tinggi dan tiada kenaikan gaji.
“Inilah sebenarnya senjata utama kepada pemimpin parti politik untuk mendapatkan sokongan dan mencari pengaruh rakyat jika mereka mampu menangani isu-isu rakyat dengan kadar segera.
“Apa yang rakyat dapat dalam tempoh segera jika memperjuangkan isu NFC ini secara aktif di peringkat nasional? Saya tak nampak rakyat akan memberi tumpuan dan fokus kepada isu ini yang sudah lapuk dan tak relevan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin Rafizi menempelak tindakan Maybank Singapore Ltd yang menarik balik saman terhadap Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya sebagai tidak sensitif kepada masalah rakyat.
Maybank Singapura semalam dilaporkan telah membatalkan saman terhadap Salleh dan dua anaknya kerana didakwa ingkar terhadap dua kemudahan pinjaman perumahan berjumlah S$2,534,203.41 di Singapura.
Mohammad Tawfik berkata, kemunculan semula Rafizi tidak nampak relevan jika masih lagi terikat atau berada dalam lingkungan memperjuangkan isu-isu lama.
Namun, katanya, jika beliau benar-benar memahami perasaan kehidupan rakyat dan apa yang rakyat serta ahli PKR mahukan, sudah pastinya beliau mampu mendapat sokongan bukan saja ahli parti tetapi rakyat keseluruhannya. – UTUSAN










