GEORGETOWN: Industri pelancongan Pulau Pinang kembali kukuh sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April lalu selepas beberapa siri inisiatif dan kempen yang dijalankan dalam platform domestik dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, jumlah penerbangan terus antarabangsa meningkat daripada 12 penerbangan mingguan pada Januari kepada 106 penerbangan mingguan bulan ini, iaitu peningkatan sebanyak 783 peratus.
Selain itu katanya, jumlah penumpang antarabangsa yang tiba ke negeri ini turut meningkat daripada 1,453 orang pada Januari kepada 58,553 pada bulan lalu.
“Statistik ini menunjukkan Pulau Pinang sentiasa menjadi destinasi pilihan pengunjung domestik dan luar negara.
“Segala inisiatif dan kempen yang dijalankan sebelum ini menunjukkan keberkesanan dengan trend peningkatan jumlah penerbangan dan pergerakan penumpang ke Pulau Pinang sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini hari ini.
Pada 1 April lalu, Malaysia telah kembali dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa selepas dua tahun pelaksanaan langkah kawalan ketat di sempadan bertujuan mengekang penularan pandemik Covid-19.
Menurut Soon Hin, Singapura mencatatkan jumlah penerbangaan mingguan yang tertinggi iaitu 52 penerbangan dalam tempoh seminggu, diikuti Medan, Indonesia (21) dan Bangkok, Thailand (17).
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di peringkat domestik dan antarabangsa sejak wabak Covid-19 melanda bagi memastikan industri pelancongan di Pulau Pinang dapat kekal bertahan.
“Kami memulakan kempen pengiklanan global dengan memanfaatkan kempen Selamat Datang ke Pulau Pinang dengan menggunakan skim pemasaran digital dengan promosi dan tawaran yang disusun secara eksklusif untuk pengembara.
“Kami juga menggunakan skim pemasaran digital seperti platform media sosial untuk menarik minat pengguna media sosial datang melancong ke Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, pameran pelancongan maya yang menawarkan perkhidmatan pelancongan kepada pelancong dari rantau Asia, Eropah, Timur Tengah, Mediterranean dan Oceania juga sedang dilaksanakan.
“Pesona Pulau Pinang turut dibawa ke Dubai World Expo, malah penyertaan dalam pameran perdagangan luar negara seperti Pasaran Pelancongan Arab di Dubai, jerayawara pelancongan Malaysia di Korea dan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia di Surabaya telah meningkatkan nama Pulau Pinang di peringkat global dengan berkesan,” katanya. – UTUSAN