Indonesia tarik balik sekatan masuk pekerja ke Malaysia - Utusan Malaysia

Indonesia tarik balik sekatan masuk pekerja ke Malaysia

M SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Indonesia bersetuju menarik balik sekatan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara sepakat untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan PDI.

Beliau berkata, integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia dan bakal beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia Indonesia.

Bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, jelas beliau, satu projek rintis dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai.

“Oleh itu, bagi majikan yang mana kuota pekerja warga asing mereka diluluskan Kementerian Sumber Manusia, mereka digesa segera membuat bayaran levi dengan Jabatan Imigresen.

“Bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuannya bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah yang mana satu kenyataan bersama berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) PDI dibuat.

Ia selepas mesyuarat kumpulan kerja bersama antara kedua-dua negara diadakan semalam bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan dasar dan teknikal dalam pelaksanaan MoU PDI yang ditandatangani pada 1 April lalu.

Saravanan berkata, beliau dan rakan sejawatannya itu turut berbincang mengenai isu pemerdagangan orang termasuk buruh paksa.

Untuk itu, kedua-dua pihak komited meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dan memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia bagi  menangani isu berkenaan.

“Saya percaya penyelesaian isu-isu dalam MoU PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing,” katanya.

Sebelum ini, Indonesia dilapor mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja warganya memasuki Malaysia berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Dalam Talian Pembantu Rumah (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN