IPOH: Empat individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, petang ini adalah empat beranak.
Mangsa yang maut ialah pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60, dan isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.
Difahamkan, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Persona itu dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, anak saudara kepada Siti Petimah yang mahu dikenali sebagai Atie, 43, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan ibu saudaranya itu sekitar pukul 12 tengah hari ketika empat beranak itu berada berhampiran Alor Pongsu.
Katanya, dia yang ketika itu dalam perjalanan untuk pulang ke Bangi cuba menghubungi wanita itu sekitar pukul 4.30 petang namun panggilan yang dibuat tidak berjawab.
“Saya cuba telefon ke nombor tiga yang lain, tetapi tiada satu pun yang berjaya membuatkan hati saya tak tenang.
“Sampailah saya dapat panggilan daripada seorang lagi mak cik yang memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Menurut Atie, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar salah seorang anaknya yang baru mendapat kerja di ibu kota.
“Kali terakhir saya bertemu Mak Su sekeluarga pada Isnin lalu semasa beraya di rumah mereka.
“Ketika itu Mak Su kelihatan gembira kerana mendapat tahu anaknya telah mendapat kerja,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik HRPB selepas seorang anak pasangan itu tiba untuk proses pengecaman dan tuntutan jenazah.
Jenazah dijangka dikebumikan di Permatang Pasir, Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu, kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta Proton Persona maut di lokasi kejadian selepas terbabit nahas membabitkan enam kereta dan sebuah treler. – UTUSAN










