KEMAMAN: Ibu kepada remaja berusia 15 tahun yang dibakar di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Jumaat lalu mahu pelaku menerima hukuman setimpal.
Anisah Takzim, 50, berkata, perbuatan individu yang membakar anaknya hidup-hidup dianggap kejam dan tidak boleh diterima.
“Saya tahu anak saya nakal. Kalau dia bersalah sekalipun, saya masih boleh terima jika dia dipukul dan bawalah dia jumpa polis sekalipun, saya terima.
“Bila dah bakar anak saya hidup-hidup, saya memang tak boleh terima. Saya tak sangka ada manusia yang begitu kejam dan tergamak buat begitu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, remaja tersebut melecur dari leher hingga bahagian depan dan belakang badan selepas dipercayai disimbah cecair disyaki minyak sebelum dinyalakan api.
Menceritakan kembali kejadian, ibu tunggal kepada tiga anak ini berkata, dia dan keluarganya terkejut apabila anak bongsunya pulang kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan kesakitan dan menjerit meminta bantuan.
“Saya nampak baju dengan kesan bakar melekat pada badan anak saya. Dia beritahu ada orang bakar badan dengan api dan dia cuba padamkan api dengan berguling atas tanah sebelum berlari balik ke rumah.
“Saya tak fikir panjang, terus bawa dia ke hospital kerana keadaannya sangat kritikal waktu itu,” katanya yang sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya.
Berita berkaitan:
Anisah berkata, hatinya hancur berkecai dan sedih setiap kali melihat wajah anaknya yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.
“Saya tak boleh pandang wajah anak. Saya sedih mengenangkan nasibnya. Memang kesan terbakar itu akan meninggalkan kesan kecacatan kekal pada badannya. Alhamdulillah, keadaannya kini stabil dan dia sudah boleh bercakap dan makan meskipun dalam kuantiti yang sedikit,” katanya.
Berikutan kejadian itu, polis menahan enam individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. Kesemua suspek terlibat kini ditahan reman lima hari bermula Sabtu lalu dan semalam. – UTUSAN










