Ibu, bayi selamat disemadikan

Ibu, bayi selamat disemadikan

Adam Abdullah menabur bunga di pusara cucunyq Hans Mohd. Thakif Amir dan menantunya, Hajar Nur Syahirin Rosman di Tanah perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman dan bayi lelakinya, Hans Mohd. Thakif yang dibunuh oleh suaminya semalam selamat disemadikan dalam satu liang lahad pada pukul 8.10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Bakar Batu, di sini.

Upacara pengkebumian itu berlangsung lancar walaupun dalam keadaan cuaca gerimis.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, bersyukur kerana upacara pengkebumian anak ketiga dan cucu keempatnya itu berlangsung dengan lancar.

“Kedua-dua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad, saya sudah berbincang dengan besan (bapa suspek) berhubung perkara ini dan mereka telah bersetuju. Jadi, kita teruskan sahaja.

“Alhamdulillah, semuanya telah selesai,” katanya kepada pemberita usai upacara pengkebumian itu.

Selain keluarga mangsa, upacara pengebumian itu turut dihadiri keluarga suspek, termasuk bapanya, Adam Abdullah, 55, dan adik lelakinya, Aiman Adam, 18, serta ahli keluarganya yang lain.

Terdahulu, kedua-dua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Bakar Batu dekat sini selepas solat Maghrib.

Sementara itu, Ahli Pertubuhan Khairat Kematian Kampung Bakar Batu, Hashim Mohamed, 55, berkata, pengkebumian dua jenazah di dalam satu liang lahad itu merupakan kali pertama dilakukan di kawasan perkuburan tersebut.

“Ya, ini merupakan pertama kali dua jenazah dikebumikan bersama-sama di dalam satu liang lahad di sini.

“Jenazah ibunya dimasukkan terlebih dahulu secara mengiring dan mengadap kiblat, manakala jenazah anaknya dimasukkan kemudian dalam susunan jenazah bayi dirapatkan ke bahagian perut ibunya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 hari semalam, Hajar Nursyahirin dan Hans Mohd. Thakif dibunuh dengan kejam oleh suspek yang  mempunyai pertalian keluarga dengan kedua-dua mangsa.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan di hadapan pintu kediaman mereka dengan kesan kelar di bahagian leher.

Walau bagaimanapun, suspek berjaya ditahan polis dalam keadaan berbogel di sekitar Permas Jaya, di sini pukul 2.45 petang semalam.

Pihak polis turut menemukan sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu daripada suspek yang bekerja sambilan sebagai pencuci kapal di Pasir Gudang.

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini memerintahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya