Hutang negara di tahap terkawal, MOF lapor SKMM

Hutang negara di tahap terkawal, MOF lapor SKMM

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial berkaitan kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MOF turut menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.

Menurut beliau, aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability). 

“Walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang. 

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, selain itu, 97 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit sekali gus mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum.

Jelas beliau, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan. 

Ini kerana katanya, pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus utuh dan kedudukan luaran baik serta kekukuhan ekonominya.

“Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus. Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang- undang sedia ada melalui Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Selain itu katanya, Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion dan pada akhir Jun lalu, hutang tersebut berjumlah RM29.4 bilion.

Jelasnya lagi, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang Kerajaan tidak boleh melebihi 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pada akhir Jun lalu, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya