Himpunan Turun Harga: 30 peserta dikenal pasti - Utusan Malaysia

Himpunan Turun Harga: 30 peserta dikenal pasti

PERHIMPUNAN yang diadakan oleh segelintir rakyat untuk membanteras kenaikan harga bahan makanan di Pusat Membeli Belah SOGO Kuala Lumpur. - UTUSAN/WAN REDZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti 30 individu yang terlibat Himpunan Turun Harga Barang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hari ini.

Kesemua mereka akan dipanggil polis bagi membantu siasatan dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, perhimpunan yang diadakan selama sejam bermula kira-kira jam 2 petang itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Justeru kata beliau, satu kertas siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Hasil pemerhatian dilakukan kira-kira 100 individu termasuk mahasiswa dan ahli politik berhimpun sambil memegang plakad bertulis ‘potong gaji menteri’, ‘turun dan lawan’ serta lain-lain.

“Sebanyak 100 individu menyertai himpunan berkenaan dan mereka cuba berarak ke Dataran Merdeka namun gagal selepas disekat polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, satu perhimpunan dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini.

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN