Hasni bertanding di Parlimen Pontian?

Hasni bertanding di Parlimen Pontian?

HASNI MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerusi Parlimen yang bakal ditandingi oleh Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus menjadi teka-teki.

Malah, bekas Menteri Besar itu hanya mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen, namun tidak menyatakan di mana kerusi yang akan ditandinginya.

Namun, Utusan Malaysia dimaklumkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu dipercayai akan bertanding di salah satu kerusi di kawasan Johor Barat, iaitu Parlimen Pontian, Simpang Renggam dan Tanjung Piai.

“Pucuk pimpinan parti telah bersetuju sekiranya saya berhasrat untuk bertanding Parlimen. Tawaran itu sudah ada, cuma di mana akan bertanding, itu masih menjadi persoalan. 

“Langkah yang terbaik ialah lebih elok kiranya kita tentukan pengagihan kerusi parti yang akan ditandingi parti komponen, barulah kita letakkan calon yang sesuai di kawasan itu,” kata Hasni ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis BBQ Santai Kelab Media Johor (KMJ) bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor di Grand Almizan Restaurant, di sini malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, pemilihan kawasan Parlimen yang akan ditandingi itu tidak boleh dirancang sekarang dan pucuk pimpinan yang akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

“Saya serah kepada pucuk pimpinan, saya tidak ada ‘short list’ (kawasan Parlimen yang akan ditandingi). Saya rasa di Johor ini kita ada contoh-contoh di mana calon atau ahli parti dari bahagian lain bertanding di bahagian lain.

“Sebagai contoh, Tun Musa Hitam yang merupakan ahli UMNO Segamat bertanding di Kota Tinggi, begitu juga Tan Sri Syed Hamid Albar dari Bukit Bintang juga pernah bertanding di Kota Tinggi.

“Jadi, saya rasa di mana saya bertanding itu bergantung dengan keadaan dan situasi (keperluan) ketika itu. Itu tidak boleh dirancang dan disusun sekarang,” katanya.

Hasni pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian pada PRU11 sebelum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memegang kerusi Parlimen itu selama tiga penggal sejak 2008.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian merupakan ADUN Benut sejak 2008 hingga kini dan dilantik menjadi Menteri Besar Johor pada 28 Februari 2020.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kira-kira 70 peratus daripada calon-calon yang akan bertanding pada PRU15 adalah muka baharu.

Beliau percaya PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat ekoran perkembangan terkini dalam negara, antaranya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi disambung.

“Akta Lompat Parti nyatakan pendirian MoU tidak diteruskan. Ini sebagai petanda PRU wajar diadakan dalam masa terdekat. Kenapa ada MoU antara semua parti? MoU ini dibuat bagi menjamin kestabilan (politik) dan keadaan terkawal dalam Parlimen. Jika MoU itu tidak sambung, ia tentu perlu diganti dengan sesuatu yang dapat jamin kestabilan yang lebih baik dengan mengadakan PRU,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya