PETALING JAYA: Harga Non-Fungible Token (NFT) berasaskan seni khat iaitu Crypokhat merundum 60 peratus akibat penjualan panik dalam kalangan ahli komuniti sehingga menyebabkan nilai bitcoin jatuh daripada RM160,000 kepada RM88,000 sehingga ke hari ini.
Seorang ahli Komuniti NFT Crypokhat, Abdul Rasyid Abdul Rahman berkata, berdasarkan platform urusniaga terbesar NFT iaitu Opensea.io, harga semasa disenaraikan turun pada harga eth 0.2( RM1320.17) selepas mencatatkan harga jualan tertinggi pada harga eth 0.6 (RM3,300.42) ketika mula diniagakan.
Bagaimanapun, beliau yakin dan kekuatan yang ada pada komuniti NFT Cryptokhat, penurunan harga ini adalah bersifat sementara.
“Pelbagai program yang bakal dianjurkan oleh ahli Komuniti Cryptokhat bertujuan meningkatkan kesedaran al-Quran melalui NFT seni khat masyarakat bakal mencipta permintaan yang lebih tinggi terhadap NFT Cryptokhat.
“Apabila berlaku permintaan tinggi dan pada sama penawaran amat terhad, ia sekali gus akan menaikkan harga NFT Cryptokhat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
NFT adalah token digital yang membolehkan orang ramai menjual dan membeli hak milik aset digital seperti lukisan, muzik, animasi, GIF, video, permainan video, tiket konsert dan pelbagai lagi sekali gus menjadikan ia unik serta bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Abdul Rasyid memberitahu, bagi meningkatkan potensi NFT, ia mempunyai beberapa fasa yang bergantung sepenuhnya kepada penjualan dan mewujudkan permintaan.
“Maka secara umumnya, untuk meningkatkan permintaan NFT Crypokhat, komuniti itu sendiri perlulah mewujudkan pasaran sendiri dan secara langsung mendorong pihak terlibat dalam NFT lain untuk mula membeli Crypokhat.
Sementara itu, Abdul Rashid memaklumkan, meskipun NFT merupakan salah satu plaftorm dagangan baharu, namun ia mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini setelah bermula revolusi baharu platform dagangan itu.
Katanya, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk NFT semakin meluas dan penggunaan teknologi berasaskan blok rantaian menjadi perhatian selebriti, atlet dan jenama terkemuka di seluruh dunia.
“NFT adalah token digital yang membolehkan anda menjual dan membeli hak milik aset digital sekali gus menjadikan ia unik,” ujarnya. – UTUSAN










