KOTA BHARU: Hampir 50,000 daripada 126,000 kontraktor berlesen di seluruh negara terpaksa ‘gulung tikar’ selepas gagal memperbaharui lesen sejak 2018 ekoran tidak mempunyai baki akaun modal yang mencukupi mengikut kelas masing-masing.
Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, selain itu serangan Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu menyebabkan projek semakin berkurangan sehingga menjejaskan kebanyakan kontraktor daripada kelas G1 hingga G4.
Menurutnya, kenaikan barangan pembinaan yang tidak terkawal turut menjadi salah satu penyumbang kepada faktor tersebut.
“Saya lihat harga bahan mentah seolah-olah ditentukan mengikut selera syarikat ataupun kilang terbabit.
“Jadi kerajaan perlu lah berbuat sesuatu atau membantu bagi menyelesaikan perkara ini. Sata amat berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat memainkan peranan dalam isu ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas Mesyuarat Agung PKMM Tahun ke-45 yang dirasmikan oleh Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan di sini semalam.
Mohd. Rosdi memberitahu, kebanyakan kontraktor tersebut juga tidak dapat beralih ke bidang lain bagi meneruskan perniagaan.
Katanya, hal ini kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi termasuk menanggung hutang akibat membuat pinjaman dengan bank.
“Untuk makluman semua, ada sebahagian kontraktor sudah tamat dan terpaksa menarik diri apabila ditawarkan projek ekoran masalah kewangan,” ujarnya. – UTUSAN