Gurauan makan pulut durian kali terakhir jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Gurauan makan pulut durian kali terakhir jadi kenyataan

NORAINI Tabilin menunjukkan gambar Yusni Hamid yang maut dalam kemalangan di simpang empat Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang ibu tunggal yang maut dihempap timbunan besi muatan sebuah treler yang terbalik di simpang empat Kampung Dalam Kemunting di sini hari ini sempat bergurau dengan kakak iparnya dan memberitahu mahu menjamah pulut durian buat kali terakhir.

Noraini Tabilin, 46, berkata, Yusni Hamid, 32, memaklumkan kepadanya bahawa dia sangat teringin untuk menikmati hidangan pulut durian air tangannya sehingga membeli buah tersebut semalam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai operator sebuah kilang di Pulau Pinang berselera menikmati pulut durian malam tadi malah turut menyatakan bahawa dia sukar untuk mendapatkan hidangan tersebut lagi selepas ini.

“Dia bergurau dengan saya dan memaklumkan bahawa pulut durian merupakan hidangan terakhirnya. Saya tidak tahu mahu berkata apa, namun tetap bernasib baik kerana sempat menunaikan permintaan terakhirnya itu.

“Yusni pulang ke kampung baru-baru ini dan sepanjang tempoh cuti Aidiladha, dia jarang keluar rumah. Dia lebih menumpukan kerja dapur dan pengurusan anak-anaknya yang ditinggalkan di kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di unit forensik Hospital Tengku Anis di sini hari ini.

Noraini memberitahu, arwah turut memaklumkan bahawa dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki di Pulau Pinang selepas lima tahun berpisah dengan bekas suaminya.

Katanya, semasa kejadian, Yusni dan anak sulungnya, Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Gong Kala di sini selepas membuat kad pengenalan remaja itu.

“Sebelum ini, arwah meninggalkan tiga orang anak untuk dijaga oleh kedua ibu bapa semasa dia bekerja di Pulau Pinang. 

“Kemalangan tragis itu turut mengakibatkan Mohamad Shahrul Rizal putus kaki kanan. Pihak Hospital Universiti Sains Malaysia memaklumkan bahagian kakinya itu tidak dapat disambung lagi dan disemadikan bersama jenazah Yusni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Tinggi di sini,” katanya.

Terdahulu, seorang ibu tunggal maut manakala anak lelakinya putus kaki selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap muatan besi yang dibawa sebuah treler terbalik.

Kejadian pada pukul 9.05 pagi itu mengakibatkan Yusni meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya putus kaki kanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya