KOTA BHARU: Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan diminta membantu kerajaan memburu kumpulan atau individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak masak peket bersubsidi ke negara jiran.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan ketirisan subsidi negara terus berlaku pada masa hadapan.
Menurutnya, pada masa yang sama bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengawal sempadan negara akan turut dipohon dalam membantu memburu penjenayah tersebut.
“Penyeludup ini perlu diburu kerana mereka telah melarikan subsidi negara yang dianggarkan berjumlah RM4 bilion. Mereka inilah yang mencuri duit rakyat menerusi kegiatan penyeludupan barangan kawalan ke negara jiran,” katanya selepas mengadakan tinjauan harga di Pasar Ketereh di sini hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, pihaknya juga akan menuntut daripada pemilik jenama minyak masak yang paling kerap diseludup ke negara jiran.
Katanya, penjelasan itu penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui punca sebenar ia berlaku.
“Bila sudah berada di negara jiran kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab itulah kita beri perhatian sebelum ia berlaku,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Ketereh itu menjangkakan harga runcit minyak masak sawit dijangka turun dalam tempoh dua minggu lagi selepas penetapan harga yang lebih rendah itu dicapai menerusi mesyuarat siri kedua pasukan tersebut pada 13 Julai lalu.
Katanya, pihak pengilang secara dasar membayangkan harga minyak masak akan turun secara berperingkat iaitu di antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh dua bulan. – UTUSAN