SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius dengan gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik di negara ini.
Baginda bertitah, perbalahan yang dilihat amat ketara kini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan kestabilan politik.
“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai kita. Jika dihayati dialognya, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan Islam.
“Beta menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu menonton filem itu sebagai teladan dan pengajaran iaitu sesebuah tamadun boleh runtuh jika kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama mempertahankannya,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini.
Titah Sultan Sharafuddin lagi, baginda tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara.
“Namun, beta bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan selain menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik dapat segera dihentikan.
“Ia bagi menjamin kepentingan masyarakat Melayu dan dipelihara tanpa mengenepikan hak serta kepentingan masyarakat bukan Melayu,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor menegaskan pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada kepemimpinan yang stabil.
“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepemimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat sekali gus tidak memberi sokongan padu kepada pemerintahan orang Melayu.
“Selain mengamalkan sikap kepemimpinan dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin itu harus bekerjasama dengan parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyedari gejala fitnah berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Penyebaran berita fitnah tanpa ditentukan kesahihannya dan budaya menyerang perilaku peribadi individu telah menggugat keharmonian masyarakat. Semua pengkhianatan dan kebencian secara terbuka itu seolah-olah menjadi satu budaya, kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah,” titah baginda.
Jelas baginda, Islam menggalakkan manusia untuk berdamai dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-lmran ayat 103.
“Oleh itu, beta mengajak pemimpin politik dan rakyat kepada kebaikan dengan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan sikap toleransi dan berprasangka baik. Beta menyeru kita bersama membangunkan masyarakat yang gagah, bebas rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai perpaduan kemanusiaan sejagat,” titah baginda. – UTUSAN










