PETALING JAYA: Perkhidmatan rel yang membabitkan transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling terjejas ekoran gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Lembah Kelang pada hari ini.
Facebook RapidKL memaklumkan, para penumpang disarankan untuk menggunakan pengangkutan alternatif.
“Penumpang dinasihatkan untuk bersabar dan sila ikuti arahan yang diberikan. Ikuti kami untuk perkembangan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik yang dipercayai melanda hampir di seluruh negara dan kini sedang mengenal pasti punca kejadian.
Seluruh negara panik ekoran gangguan elektrik yang tiba-tiba terjadi sekitar 12.45 tengah hari sehingga menjejaskan operasi pejabat.
Gangguan itu juga berlaku di Lembah Klang apabila kawasan tumpuan seperti KLCC juga terkesan dengan bekalan elektrik lebih 20 minit.
Malah keadaan itu berlaku di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. – UTUSAN










