KOTA BHARU: Penduduk di sekitar kawasan Pengkalan Chepa di sini, turut mengalami gangguan elektrik hampir setengah jam.
Gangguan itu berlaku secara tiba-tiba sekitar pukul 12 tengah hari tadi.
Seorang penduduk, Zainab Mahmud, 78, berkata, gangguan elektrik berkenaan menyebabkan beberapa urusan hariannya terpaksa dihentikan buat sementara.
Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa dia sedang mencuci pakaian.
“Ketika gangguan elektrik itu berlaku, kain yang sedang dicuci itu berada dalam mesin basuh.
“Namun apabila berlaku gangguan elektrik, saya terpaksa membasuhnya semula memandangkan keadaan baju yang tidak bersih dan dipenuhi sabun,” katanya bercakap kepada Utusan Malaysia hari ini.
Zainab memberitahu, sudah lama gangguan elektrik tidak berlaku di kawasan berkenaan.
Selain Pengkalan Chepa, gangguan itu turut dikesan berlaku di sekitar Kota Bharu dan Pantai Cahaya Bulan. – UTUSAN










