BUTTERWORTH: Dua buah kilang memproses ikan di sini didenda sebanyak RM10,000 selepas didapati gagal menguruskan buangan terjadual susulan satu pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, semalam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan itu dibuat ekoran aduan bau busuk yang diterima daripada penduduk Taman Limbungan Indah di sini.
Katanya, menurut penduduk bau busuk itu mungkin berpunca daripada operasi yang dijalankan oleh kilang mengetin ikan di Limbungan Chain Ferry yang terletak tidak jauh dari situ.
“Siasatan JAS Pulau Pinang pada hari yang sama kemudian mendapati aduan tersebut adalah berasas dan jarak antara penduduk dengan premis kilang itu adalah sekitar 30 meter sahaja.
“Justeru, operasi kilang memproses ikan berkenaan pastinya akan memberi kesan bau apabila angin bertiup ke arah kawasan perumahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kedua-dua kilang tersebut dikompaun mengikut Peraturan Buangan Terjadual 2005.
Ujar beliau, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 juga diambil supaya pihak kilang mengambil tindakan segera bagi mengawal pencemaran bau tersebut.-UTUSAN