PETALING JAYA: Sanggup gadai nyawa demi melakukan aktiviti memancing. Itu sikap yang dilakukan segelintir peminat aktiviti memancing yang tidak mengendahkan keselamatan ketika melakukan aktiviti berkenaan.
Lebih membimbangkan, mereka juga sering melakukan aktiviti berkenaan tanpa memiliki lesen atau permit dari Jabatan Laut untuk beroperasi.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, sejak 2017 sehingga Jun lalu, sebanyak 86 kes direkodkan melibatkan bot memancing yang ditahan atas pelbagai kesalahan.
Kata beliau, antara kesalahan yang dilakukan seperti tiada lesen atau permit dari Jabatan Laut selain memancing di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Malah, mereka juga dikesan tidak memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti berkenaan selain jaket keselamatan itu tidak mencukupi.
“Terdapat kesalahan-kesalahan lain dilakukan mereka ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Zubil, lokasi tumpuan pemancing untuk melakukan aktiviti ini kebanyakannya dilakukan di kawasan laut dalam yang jarak melebihi 100 batu nautika hingga ke sempadan perairan antarabangsa.
Jelas beliau, kawasan tumpuan pemancing juga lebih tertumpu di kawasan pantai timur kerana banyak kawasan terumbu, pelantar minyak dan berhampiran pulau yang menjadi habitat hidupan laut.
“Ingin diingatkan, pengusaha-pengusaha bot yang membawa pemancing ini dikehendaki untuk menjauhi pelantar-pelantar minyak pada jarak 500 meter daripada pelantar tersebut. Kawasan tersebut adalah kawasan larangan,” ujarnya.
“Ini adalah kerana tindakan menceroboh kawasan larangan tersebut boleh menyebabkan kecelakaan seperti risiko kebakaran yang berpunca daripada gas hidrokarbon yang dilepaskan daripada pelantar minyak,” jelasnya.
Kata Mohd. Zubil, kawasan pelantar minyak merupakan kawasan larangan di bawah Akta Kawasan Larangan.
“Bagaimanapun, masih terdapat pencerobohan yang berlaku berikutan kawasan tersebut kaya dengan habitat hidupan laut.
“Kita telah menjalankan kerjasama dengan Syarikat Carigali dalam usaha membanteras pencerobohan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Zubil turut menasihatkan kepada pemancing supaya lebih berwaspada.
Jelas beliau, pemancing juga memainkan peranan dalam memastikan keselamatan mereka semasa keluar memancing terjamin dengan menyelidik latar belakang bot yang disewa dan menggunakan khidmat operator bot yang berlesen.
“Selain daripada itu, pemancing juga hendaklah memastikan bot yang disewa dilengkapi dengan alat komunikasi dan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan serta Personal Locator Beacon,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Kawalan Industri Maritim (BKIM), Jabatan Laut Malaysia Timur (JLMWT), Sayful Islam Mat ketika dihubungi berkata, sebanyak 336 permit aktiviti memancing dikeluarkan pihaknya di Wilayah Timur dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga tahun ini.
Jelas beliau, pengeluaran permit paling banyak dikeluarkan adalah pada 2019 iaitu sebanyak 156 permit diluluskan diikuti 2018 (135 permit); 2020 (44 permit); 2021 (tiada); dan tahun ini (satu permit).
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 154 permit dikeluarkan pejabat pengeluar di Kuala Terengganu, diikuti Tok Bali, Kelantan (57 permit); Kemaman, Terengganu dan Teluk Gading, Pahang (masing-masing 33 permit).
“Selain itu, sebanyak 23 permit memancing lagi telah dikeluarkan pejabat pengeluar di Kuantan diikuti Kuala Besut, Terengganu (19 Permit); Kuala Besar, Kelantan (11 permit) dan Rompin, Pahang (enam permit),” jelasnya.
Dalam pada itu, Sayful Islam mengingatkan kepada bot nelayan yang membawa pemancing hendaklah mendapat surat kebenaran dari Jabatan Laut.
“Mereka perlu melengkapkan senarai penumpang dan diserahkan kepada agensi berkaitan sebelum belayar agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan layak layar (seaworthy),” katanya. – UTUSAN










