PETALING JAYA: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia di samping Yayasan Generasi Malaysia digesa memainkan peranan memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama golongan berkenaan membolehkan negara mencapai kemakmuran dan keamanan, sekali gus mampu meningkatkan lagi Indeks Kebahagian Malaysia.
“Namun, NGO usah bersikap tunggu dan lihat, tetapi perlu lebih proaktif dan bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.
“Justeru, saya berharap agar semua NGO menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan itu,” katanya ketika berucap dalam makan malam Gabungan NGO Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini malam ini.
Gabungan NGO Keluarga Malaysia dianggotai sejumlah 588 pertubuhan berdaftar di seluruh negara.
Dalam majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan Anugerah NGO Malaysia 2022 kepada pemenang antaranya Tan Sri Aseh Che Mat yang dinobatkan sebagai Tokoh NGO Pesara di samping Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong (Tokoh NGO Perpaduan) dan Datuk Nadzim Johan (Tokoh NGO Kepenggunaan).
Katanya, anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu bertujuan mengiktiraf pemimpin-pemimpin berkaliber dan berkarisma sekali gus dapat memartabatkan kerja-kerja kebajikan serta sosial yang dilakukan NGO sepanjang tahun ini. – UTUSAN










