Fenomena filem epik, sejarah - Utusan Malaysia

Fenomena filem epik, sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIRNYA, setelah sekian lama tidak diwujudkan filem-filem bernaskhah epik sejarah, siapa sangka, naskhah Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berupaya mencuri perhatian rakyat dan penonton di negara ini untuk memenuhkan setiap isi pawagam.

Begitu ramai mengaku, darah Melayu mereka tiba-tiba menjadi pekat dan likat sesudah menonton naskhah ini sekali gus mencetuskan semangat kemelayuan yang tinggi pada diri masing-masing.

Ia satu petanda yang sangat sihat. Malah, sesetengah penonton juga menyifatkan naskhah seperti inilah yang mereka sudah lama nantikan dan bukannya dihidangkan dengan genre atau intipati cerita yang sama saja pada setiap kalinya.

Naskhah yang bagaimana yang dimaksudkan mereka itu? Alahai… cerita-cerita ringan, cinta, yang komedi slapstik, yang kononnya tidak perlu berfikir sangat itu. Tetapi, apa benar memang penonton kita sudah lama mahukan naskhah seperti itu?

Ada yang mendakwa, pendapat-pendapat seperti itu cuma sekadar ikut-ikutan sahaja. Bermusim. Agaknya selepas fenomena Mat Kilau berakhir, sebegini jugakah sambutan atau permintaan diterima untuk filem-filem yang lain?

Kita tanyakan situasi ini kepada beberapa orang industri. Berikut ialah pandangan yang dapat dikongsi.

Beri pendedahan tentang sejarah lampau – Faizal Hussein
Pelakon, Faizal Hussein menyambut baik cadangan penghasilan lebih banyak filem epik di negara ini.

Namun katanya, kemajuan industri filem dan sokongan penonton bukan terletak pada genre, epik atau tidak. Sebaliknya berlaku atas faktor-faktor tertentu.

“Usaha untuk hasilkan filem epik seperti Mat Kilau, bagus. Kita dapat beri pendedahan tentang sejarah lampau kepada generasi baharu.

“Tetapi, pada saya, kalau filem ini diarahkan pengarah lain, saya rasa ia tidak akan ‘menjadi’ seperti sentuhan Syamsul Yusof.

“Ada banyak faktor yang membuatkan filem kita berjaya, sekali gus memajukan industrinya. Kalau bercakap soal Mat Kilau, pada saya penjenamaannya. Satu Syamsul, dua, garapan aksi dalam filemnya. Ketiga, kerana dia anak kepada pengarah terkenal Yusof Haslam,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal juga menekankan bahawa peruntukan yang besar juga memainkan peranan untuk menjayakan sesebuah filem, lebih-lebih lagi yang berskala besar dan bertaraf epik.

Katanya, tanpa peruntukan yang besar, sesebuah filem epik tidak mungkin akan nampak besar dan gah di mata penonton.

“Contoh untuk Mat Kilau, peruntukan pun besar. Tetapi belum melepasi jumlah peruntukan untuk filem Puteri Gunung Ledang.

“Cuma mungkin Syamsul ini, kelebihan dia mampu menampakkan filem berdana rendah nampak mega,” katanya lagi.

Kerajaan harus sokong penggiat seni yang mahu hasilkan filem epik -Tiara Jacquelina
Bagi pendapat penerbit dan pengasas Enfiniti Productions, Puan Sri Tiara Jacquelina, dia mendedahkan filem-filem bergenre sejarah atau epik agak sukar bagi menandingi karya bergenre popular yang lain.

Tiara bagaimanapun memberitahu ‘perpustakaan’ filem negara perlu juga mempelbagaikan setiap genre.

Katanya, filem epik atau bergenre sejarah mempunyai kepentingan dan peranan tersendiri dalam meningkatkan jati diri bangsa terutama bagi golongan muda.

“Pada saya, jika kita lihat trend di Hollywood atau mana-mana negara yang rajin menghasilkan filem bergenre sejarah atau epik ini, agak sukar untuk menandingi filem-filem yang popular seperti genre komedi atau sebagainya.

“Namun, dalam ‘perpustakaan’ filem perlu juga ada semua genre. Jadi, jika sesebuah negara tersebut ‘asyik’ menghasilkan filem berdasarkan sejarah sahaja, pun tidak boleh juga kerana filem itu hiburan.

“Memanglah, tetapi perlu untuk jati diri bangsa, kita masukkan juga dalam perpustakaan filem jenis genre begini. Ia kerana, penting untuk penonton terutama golongan muda perlu seimbang kepada filem seperti ini. Supaya tidaklah mereka mengharapkan filem yang ringan dan komedi kosong sentiasa,” katanya.

Mengulas lanjut, penggiat karya tempatan turut bertanggungjawab menghasilkan sebuah sentuhan filem yang mencerminkan wajah negara dan citarasa bangsa.

Oleh hal demikian, pihak kerajaan juga haruslah memainkan peranan bagi menyokong penggiat karya tempatan dalam memperbanyak penghasilan filem-filem epik.

“Sebagai pembikin filem, kita harus bertanggungjawab untuk mendedahkan kepada khalayak dengan pelbagai genre filem supaya mereka harus dapat terima dengan kesemua jenis genre.

“Bagi saya, penggiat filem adalah bertanggungjawab juga kerana akan menghasilkan filem yang mencerminkan wajah negara dan citarasa bangsa.

“Pendapat saya juga, kerajaan haruslah menyokong jika penggiat seni yang hendak menghasilkan filem epik seperti ini. Sebab saya sudah pernah kena dan tahu, duit habis berjuta-juta tetapi kutipan tidak akan setimpal,” tuturnya.

Penerbit teater Ola Bola The Musical itu berkata demikian agar para pembikin filem tidak mengambil risiko seorang diri jika karya mereka tidak mendapat sambutan penonton.

“Namun, kita harus mempunyai program sebegini di mana kerajaan menyokong setiap usaha supaya penerbit tidak mengambil risiko seorang diri.

“Ini tugas kerajaan dan penting bagi rakyat terutama penonton secara amnya.

“Jika hendak harapkan penerbit sahaja, bila tidak mendapat sambutan (rugi). Ini soal bisnes, siapa yang berani mengambil risiko,” ujarnya panjang.

Kita ketandusan filem epik – Fauzi Nawawi
Pelakon Fauzi Nawawi mengaku sebenarnya perfileman negara kita sudah ketandusan filem epik.

Ujarnya, filem Puteri Gunung Ledang (PGL) merupakan antara karya epik yang pernah ada dan masih dibanggakan.

Merujuk filem epik arahan pengarah Syamsul Yusof, pelakon ini tidak menafikan sentuhan pengarah itu tidak pernah mengecewakan penonton.

“Kita sebenarnya ketandusan filem epik. Puteri Gunung Ledang, itu antara filem yang boleh dibanggakan sebelum ini dan akhirnya, lahir pula Mat Kilau. Secara peribadinya, kita boleh kagumi dengan penghasilan seperti ini.

“Filem seumpama itu harus dihasilkan lagi pada masa akan datang kerana sarat dengan mesej cinta dan sayangkan agama serta negara,”katanya.

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2019 – Sesi fotografi bersama selebriti, Fauzi Nawawi, ketika pra pelancaran filem Coast Guard di The Rouge Club, Red Hotel di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID / PEMBERITA – ERYANI ( HIBURAN KOSMO )

Fauzi menyeru agar pemimpin tempatan hadir menyaksikan naskhah tersebut yang bukan hiburan semata-mata bahkan memberikan teladan.

“Filem-filem seperti ini pemimpin pun harus tonton supaya timbul kesedaran dan bangkitkan semula semangat perjuangan di tanah Melayu sendiri,” katanya lagi.

Tambah Fauzi, dengan adanya fenomena baru menerusi filem ini, secara tidak langsung membuka mata penerbit dan pelabur untuk menerbitkan filem pada masa akan datang meski pun negara melalui fasa endemik.

Bukan tak nak buat, tapi bajet akan jadi isu utama – Norman Abd Halim
Tumpang berbangga dengan pencapaian dan kejayaan filem Mat Kilau, Norman bagaimanapun tidak menolak, bukan penggiat seni kreatif enggan menghasilkan filem-filem genre seperti ini tetapi, bajet yang besar akan menjadi isu paling utama.

“Kami pun pernah sebelum ini hasilkan filem epik, Hikayat Merong Mahawangsa dan filem Vikingdom : The Bloodlines. Tapi kandungannya dibuat untuk penerbitan berskala besar dan ia perlukan bajet yang juga besar. Filem-filem epik ini, kalau bajet tak ada RM10 juta ke atas, memang susah nak realisasikan.

“Merong Mahawangsa yang sebelum ini pun dihasilkan pada bajet RM6 juta. Ketika itulah. Zaman sekarang ini mestilah kena lebih lagi bajetnya termasuk untuk kos promosi dan sebagainya,”katanya.


Kata Norman, hal yang sama juga dihadapi jika sesebuah produksi itu mahu menghasilkan filem animasi.

Pun begitu, Norman juga tidak menolak, ada naskhah filem yang tidak perlukan bajet besar sekali pun mampu meraih pujian daripada peminat berdasarkan jalan cerita dan kualiti yang dapat dihasilkan.

“Filem Roh dan KIL contohnya, pada saya, bajet tak besar pun tapi bagus. Filem epik kalau dapat bajet besar, kita boleh hasilkan lebih kualiti untuk penonton. Bayaran juga harus setimpal pada kru dan pengarah, pelakon dan seluruh produksi,”katanya.

Dalam pada itu, kata Norman, dia juga berharap penonton dan peminat filem tempatan usah membanding-bandingkan dengan genre yang berbeza, contohnya, epik dan naskhah romantik, ia tidak akan sama.

“Jangan selalu banding-bandingkan dengan semua filem sebab tak semua filem sama. Tak rasa bosankah kalau kita tonton filem yang seolah-olah serupa? Orang nak filem superherolah, animasilah, epiklah, tapi semua itu tak sama rencah dan cara pembikinannya.

“Tak salah pun untuk mana-mana penerbit untuk keluarkan kandungan dengan cara tersendiri pada pelbagai cara dan strategi masing-masing. Cuma penonton harus tahu, mana-mana filem pun, bajet akan menjadi keutamaannya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN