PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi semasa cacar monyet dalam meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan pengumuman kejadian kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Julai lalu.
Beliau berkata, sehingga kelmarin, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet dinotifikasi kepada KKM dan semuanya disahkan negatif.
“KKM sehingga kini mempertingkat survelan dan advokasi mengenai cacar monyet melalui tindakan memaklumkan kepada fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta kes disyaki dan disahkan cacar monyet dengan segera.
“Ini bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuk mengenal pasti kontak rapat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, KKM mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit.
Jelas Khairy, kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus turut ditingkatkan iaitu dua makmal ditambah menjadi 12 makmal (lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta).

Tambah beliau, survelan di pintu masuk antarabangsa negara terus dipertingkat dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, syarikat-syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk pihak Malaysian Airlines Holding Berhad.
Selain itu, katanya, ia turut melibatkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pengajian Tinggi serta pertubuhan bukan kerajaan.
Jelasnya lagi, bermula 1 Mei lalu sehingga kelmarin, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada pengembara-pengembara ini.
“KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut serta elakkan kontak dengan individu lain bagi mengelak penularan jangkitan,” ujarnya. – UTUSAN