FAMA sasar jualan JTDLKM capai RM10.5 juta

FAMA sasar jualan JTDLKM capai RM10.5 juta

ZAINAL Abidin Yang Razalli (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga  ketika meninjau JTDLKM di Tapak Pasar Malam Medan Jaya, Rusila, Marang, hari ini. - FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan sebanyak RM10.5 juta menerusi program khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu hingga akhir tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA,, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, program tersebut yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melibatkan seramai 8,400 usahawan yang membabitkan sebanyak 840 penganjuran di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, program tersebut memberi ruang kepada pengunjung untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan penjimatan antara lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran bagi produk terpilih.  

“Sejak 1 Jun hingga 3 Julai, sebanyak 267 program telah dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan terkumpul RM3.1 juta. 

“Melalui penganjuran sepanjang tempoh itu, sebanyak RM316,000 penjimatan telah dinikmati oleh seramai 150,000 pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau JTDLKM di Taman Medan Jaya, Rusila dekat sini, hari ini.

Menurut Zainal Abidin, setakat ini, JTDLKM telah mencatatkan kuantiti jualan keseluruhan berjumlah 368 tan metrik barangan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan sebanyak 52,600 ekor ayam telah dijual kepada pengguna.

Sementara itu, tambahnya, JTDLKM telah dianjurkan di 22 lokasi dengan melibatkan seramai 359 orang usahawan di Terengganu sahaja.

“Program tersebut yang dilaksanakan di negeri ini berjaya mengutip nilai jualan sebanyak RM560,000 di seluruh lokasi tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program itu dapat memendekkan rantaian pemasaran agro makanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan konsep jihad memerangi orang tengah.

“Program ini berjaya mencapai matlamatnya kerana semua usahawan yang terlibat adalah  pengeluar hasil pertanian itu sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN