PUTRAJAYA: Etnik Melayu rakyat Sri Lanka turut terkena tempias ekoran situasi meruncing ekoran krisis kepimpinan yang melanda negara bekas jajahan British itu.
“Alhamdulillah, setakat ini kami bertahan dan masih lagi dalam situasi selamat,” akui Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka (SLMA), Rilwan Lantra ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Walaupun etnik minoriti, mereka turut merasai situasi getir pada saat ini dan kehidupan mereka pula amat perit kerana bekalan minyak yang terputus akhir-akhir ini menjejaskan banyak perkara.
Isnin lalu, petrol RON 95 di negara berkenaan dijual pada harga 550 rupee (RM6.70) seliter berbanding asal cuma 283 rupee (RM3.44) awal April lalu sebelum melonjak kepada 470 rupee (RM5.70) bulan lalu.
SLMA yang baru menyambut ulang tahun ke-100 pada 22 Januari lepas menganggarkan terdapat sekitar 75,000 orang Melayu di seluruh Sri Lanka yang kesemuanya beragama Islam.
Organisasi bukan kerajaan itu turut menjalin hubungan erat dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Kedutaan Besar Indonesia di Colombo dalam pelbagai aktiviti penganjurannya.
Kronologi kancah politik Sri Lanka bermula apabila 26 menteri Kabinet meletakkan jawatan pada 3 April lalu kerana kecewa cara pengurusan hutang negara sehingga diisytihar muflis.
Keadaan bertambah nazak apabila kerajaan kehabisan dana bagi pengimportan bahan bakar yang menyebabkan gangguan tenaga elektrik dan sistem pengangkutan awam darat.
Mengulas lanjut, Rilwan menambah, kehidupan rakyat di negara itu secara umumnya amat teruk dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan terputus, bahkan jika adapun harganya terlalu mahal.
“Kos sara hidup juga melonjak akibat siri kesan rantaian ketiadaan petrol kerana kerajaan tiada lagi duit untuk beli dari luar negara dan terpaksa tagih ihsan negara tertentu,” jelasnya.
Masyarakat Melayu di Sri Lanka ujar beliau, terpaksa mencatu makanan harian ahli keluarga dan berjimat cermat sebab mereka juga tidak pasti bilakah krisis ekonomi itu akan berakhir.
Lebih menyedihkan, sistem pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam negara itu hampir lumpuh dengan semua urusan kerajaan terpaksa dihadkan kerana kekurangan peruntukan semasa.
Sekolah pula dijangka dibuka semula Isnin depan manakala pejabat kerajaan beroperasi dengan skala yang kecil disebabkan ramai kakitangan bertugas dari rumah sahaja.
Bagaimanapun, katanya, SLMA tetap berusaha membantu bukan sahaja lebih 500 ahlinya, malah, komuniti Melayu yang terkesan dengan krisis tersebut menerusi pelbagai pendekatan.
Terbaharu, mereka melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Ahad lalu dengan penyembelihan 22 ekor lembu sebelum dagingnya diagihkan ke pelbagai lokasi.
Rilwan masih optimis kehidupan mereka akan pulih dalam masa terdekat meskipun mengambil masa setelah Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa bertindak melarikan dirinya ke luar negara.
“Kami juga amat berterima kasih kepada warga Malaysia dan Indonesia di Sri Lanka yang ada membantu secara tidak langsung walaupun mereka juga mengalami kesukaran serupa,” katanya.
Terdapat lebih 100 rakyat Malaysia berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dengan sebahagian besar berkhidmat dalam aneka syarikat multinasional dan dilaporkan selamat berada di rumah.
Menyentuh sambutan 100 tahun SLMA, beliau memaklumkan pelbagai aktiviti akan berlangsung dengan paling hampir, Pesta Pasar Malam di Padang Colombo pada 30 Julai.
Kesemua program juga mendapat kerjasama pejabat diplomatik Malaysia dan Indonesia bagi menyerlahkan kehebatan etnik Melayu yang banyak berjasa kepada pembangunan Sri Lanka.
Diaspora kaum itu bahkan terlibat dalam bidang pentadbiran awam, ketenteraan, perniagaan, pendidikan, sukan, dakwah dan sebagainya termasuk memegang pelbagai jawatan penting. – UTUSAN











