KEMAMAN: Taktik enam individu mengubah suai tiga buah lori muatan tiga tan dipercayai untuk menyeludup diesel gagal apabila mereka dicekup polis di sebuah stesen minyak di Jalan Air Putih, di sini, hari ini.
Kesemua lelaki berusia antara 17 hingga 45 tahun itu ditahan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman ketika sedang melakukan rondaan kira-kira pukul 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika rondaan, anggota tersebut melihat dua buah lori diparkir di stesen minyak tersebut, manakala sebuah lagi lori sedang diisi diesel.
“Curiga melihat dua lelaki yang mengambil masa lama untuk mengisi minyak, anggota tersebut kemudiannya membuat pemeriksaan dan didapati mereka mengisi diesel secara berlebihan. Suspek juga gagal menunjukkan sebarang surat atau permit untuk membeli bahan api tersebut daripada pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua tangki lori tersebut diubah suai dengan menempatkan empat tangki besar di bahagian muatan yang mana setiap tangki boleh diisi sebanyak 1,000 liter diesel pada satu masa,” katanya di sini, hari ini.
Hanyan berkata, pihaknya turut memeriksa dua buah lagi lori dan mendapati sebuah lori telah diisi 4,000 liter diesel manakala sebuah lori lagi hanya mempunyai empat tangki kosong di bahagian muatan, dipercayai sedang menunggu giliran untuk mengisi diesel.
“Salah seorang pemandu lori tersebut memberitahu bahan api tersebut akan dibawa ke sebuah kawasan perindustrian di sini, namun, belum dipastikan untuk kegunaan apa,” katanya.
Selain itu, Hanyan memberitahu, seorang pembantu jualan stesen minyak berkenaan yang berusia lingkungan 20an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Ketiga-tiga buah lori dengan 5,000 liter diesel dirampas dan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE