SARATOK: Empat termasuk seorang bayi yang dipercayai daripada sebuah keluarga maut selepas kereta jenis Honda City dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan treler berhampiran simpang Roban, Jalan Saratok-Sarikei di sini, hari ini.
Nahas kira-kira pukul 6.50 pagi itu mengakibatkan pemandu kereta berusia 30 tahun, seorang wanita 28 tahun, kanak-kanak lelaki (empat tahun) dan seorang bayi lelaki (setahun) tersepit di dalam kenderaan itu.
Keempat-empat mangsa yang dipercayai mempunyai hubungan keluarga itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shukur Jamaludin berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuching menghala ke Miri sebelum terbabit kemalangan.
“Sepasukan anggota ke lokasi sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.53 pagi. Setibanya di lokasi, semua mangsa masih tersepit di dalam kenderaan itu dan dikeluarkan dengan peralatan menyelamat.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas keselamatan,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Shukur berkata, pemandu lori terbabit terselamat dan tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN