IPOH: Empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, maklumat kejadian diterima pada pukul 3.02 petang dengan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler di mana terdapat empat mangsa tersepit.
“Empat mangsa yang tersepit melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita. Anggota segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat. Kesemua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti. – UTUSAN










