Empat kampung di Baling dilanda banjir, tujuh keluarga pindah

Empat kampung di Baling dilanda banjir, tujuh keluarga dipindahkan

ANTARA kediaman penduduk yang dinaiki air di pekarangan rumah mereka ekoran hujan lebat petang semalam di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Tujuh keluarga membabitkan 32 penduduk Kampung Padang Empang, Kupang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Hassan Samah selepas rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter, malam tadi.

Mangsa-mangsa diarahkan mengosongkan rumah masing-masing sejak pukul 10 malam apabila keadaan dikhuatiri tidak selamat berikutan hujan masih melanda.

Dalam kejadian banjir kali kedua selepas tragedi kepala air meragut nyawa tiga penduduk itu, air Sungai Kupang mulai melimpah sejak petang semalam ekoran hujan lebat melanda kawasan itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Kapten Rasidah Kassim, berkata, selain Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi, air turut memenuhi pekarangan rumah penduduk di Kampung Bendang Bechah, Kampung Bendang Padang dan kawasan Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah.

“Namun, mereka tidak diarahkan berpindah buat masa ini tetapi jika keadaan bertambah buruk, penduduk di lokasi terbabit juga akan diarahkan segera untuk ke lokasi selamat.

“Setakat malam tadi, hanya sebuah PPS dibuka bagi menempatkan mangsa berikutan kediaman mereka dimasuki air,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Nor Mohamad Husin berkata, penduduk meluahkan kebimbangan kebimbangan mengenai kewujudan kolam takungan di Gunung Inas yang berisiko menyebabkan bencana berulang.

Katanya, mereka mahu tindakan segera ke atas kolam tersebut kerana selagi ia masih ada, penduduk khuatir banjir lumpur dan kepala air mungkin boleh berlaku lagi.

“Ketika ini, kami dengan kerjasama Penghulu serta wakil-wakil agensi lain sentiasa memantau keadaaan penduduk sekiranya hujan berterusan.

“Pemantauan juga dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR), sekiranya air melimpah ke jambatan Bailey, laluan itu akan ditutup kerana bimbang mendatangkan bahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN