Empat beradik bersyukur tunai wasiat bapa

Empat beradik bersyukur tunai wasiat bapa

MUHAMMAD Amir Ashraf Hassan (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Zubaidah Zamri yang merupakan seorang daripada penerima sumbangan dan infak harta Hassan Johan di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Empat beradik bersyukur dapat menunaikan wasiat arwah bapa mereka, Hassan Johan untuk menginfakkan sejumlah harta iaitu wang sebanyak RM16,820 kepada golongan yang memerlukan.

Muhammad Amir Ashraf Hassa, 29, berkata, mereka empat beradik menunaikan wasiat bapa mereka yang dibuat melalui syarikat pengurusan amanah, wasiat, hibah dan harta pusaka milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), iaitu MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB).

“Kami rasa lega setelah dapat tunaikan wasiat arwah bapa supaya menginfakkan wang tersebut kepada golongan atau badan-badan yang amat memerlukannya sebagai amal jariah.

“Kami mengambil masa lebih setahun untuk menunaikan amanah ini disebabkan pada tahun lalu kita masih berada dalam suasana pandemik Covid-19,” katanya selepas menyerahkan wang sumbangan itu kepada lapan penerima pada Majlis Penyerahan Sumbangan dan Infak di Hotel Taiping Perdana di sini hari ini.

Lapan penerima itu ialah dua orang penerima individu iaitu Zubaidah Zamri dan Paul Nicholas Igof, Madrasah Mahmudiah Kampung Badlishah Serdang, Kedah; Masjid Wan Nong, Gerik; Sekolah Rendah Tahfiz Ibnu Sina, Kamunting; Surau Nurul Ikhwan Kamunting; Maahad Tahfiz Wattalaqqi, Kuala Kangsar dan Yayasan Infaq Angkasa.

Turut hadir, Timbalan Presiden MAAB, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Naib Presidennya,Datuk Mohamad Ali Hasan.

Menurut Muhammad Amir Ashraf, selepas kematian bapa mereka pada Februari tahun lalu akibat serangan angin ahmar,  dia dimaklumkan oleh MAAB terdapat satu wasiat yang telah ditinggalkan oleh bapa mereka dan memerlukan perbincangan untuk diselesaikan.

Katanya, selepas mendapat penerangan dan penjelasan daripada MAAB, dia berbincang dengan ahli keluarga terutamanya dengan tiga orang adiknya.

“Alhamdulillah, kami semua sepakat untuk menunaikan hasrat bapa kami sebagaimana yang tercatat di dalam wasiatnya dengan MAAB dan hari ini kami sebagai pewarisnya telah melaksanakan tanggungjawab itu dan ini amat memberi kelegaan kerana kami dapat menunaikannya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sehingga hari ini, MAAB telah mendaftarkan lebih 170,000 kes pendaftaran wasiat membabitkan anggaran nilai aset sebanyak RM86 billion.

Menurutnya, bagi pengurusan pentadbiran harta pusaka pula, MAAB sudah menguruskan sebanyak 637 fail dengan anggaran nilai berjumlah RM320 juta. 

“Angka berkenaan disifatkan agak besar bagi MAAB sebagai institusi amanah harta yang disifatkan ‘muda’ memandangkan kami ditubuhkan pada tahun 2014,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN