MELAKA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin prestasi eksport produk halal negara akan kembali kukuh seperti sebelum ini dengan sasaran mencecah RM40 bilion tahun ini.
Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan usaha dilakukan kementerian dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) bersama 13 agensi, selepas pembukaan sempadan dan ekonomi secara menyeluruh.
Menurutnya, eksport halal negara mendapat permintaan tinggi dari China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.
Beliau berkata, antara produk halal utama yang dieksport adalah barangan penjagaan badan, farmaseutikal, kosmetik, makanan dan minuman serta ramuan.
“Sebelum pandemik Covid-19, produk halal negara pernah mencecah eksport RM40 bilion berbanding prestasi pada 2021, kita hanya mencatat pencapaian RM36.3 bilion dan RM30.5 bilion tahun sebelum itu.
“Saya percaya dengan usaha yang dijalankan oleh MITI dan HDC ditambah pula ekonomi telah dibuka secara menyeluruh dan pembukaan sempadan negara, nilai eksport kita mampu kembali mencecah RM40 bilion menjelang hujung tahun ini,” katanya
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan komputer kepada sekolah-sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ban Hong berkata, Halal Hub Melaka di Serkam, Jasin dekat sini telah menarik pelaburan sebanyak RM153.74 juta dengan pelaburan langsung asing berjumlah RM64.83 juta.
“Bagi 2021, Halal Hub Melaka telah menerima pelaburan dengan anggaran nilai pelaburan domestik berjumlah RM26 juta.
“HDC akan bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawanan Melaka (MISDEC) yang menawarkan Program Pensijilan Halal Apprentice selama enam bulan secara percuma,” jelasnya.
Katanya lagi, pelajar yang menerima sijil tersebut diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan setakat ini seramai 50 orang telah mendapat penempatan kerja dalam industri halal seluruh Melaka. – UTUSAN










