Duta: Tajuddin akur, terima sebarang keputusan

Duta: Tajuddin akur, terima sebarang keputusan

tajuddin
TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akur dan menerima apa sahaja keputusan kerajaan berhubung kedudukan dan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi gambaran berkaitan pelantikan tersebut.

“Saya sudah jumpa dengan Perdana Menteri, jadi sedikit sebanyak saya sudah mendapat gambaran. Macam mana pun, saya tidak boleh nak nyatakan perbincangan dengan Perdana Menteri sebab tidak mahu mendahuluinya dan saya menghormati Kabinet. Saya juga seorang rakyat yang taat setia kepada Tuanku.

“Berhubung kedudukan sekarang, saya tidak tahu. Cuma saya sudah dilantik Kabinet dan proses seterusnya, saya serahkan kepada kerajaan. Saya percaya kerajaan boleh bertindak dan membuat keputusan dengan bijaksana.

“Yang penting kalau sekiranya khidmat saya diperlukan, saya akan berkhidmat untuk rakyat dan negara. Malah, saya boleh menerokai peluang yang ada supaya kedua-dua buah negara sama-sama menikmati kerjasama yang membawa kepada kemajuan dalam pembangunan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berhubung cakap-cakap kononnya tidak layak memegang jawatan itu, Tajuddin berkata, ia hanyalah bertujuan lebih kepada ingin menjatuhkan reputasi seseorang pemimpin.

“Mereka buat macam-macam cerita yang bukan bertujuan baik. Semua bertujuan dengki, khianat. Apakah mereka ingat saya ini langsung tidak ada kemampuan? Kelulusan? Pengalaman?

“Itu dari pembangkang, saya tidak kisah. Tetapi, saya kesal orang UMNO sendiri ikut sama, apa masalahnya? Tidak mengapalah, saya tidak patah semangat. Saya yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun ini, akan terus berkhidmat menggunakan pengalaman yang ada sebagai wakil rakyat, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  dan timbalan menteri,” ujarnya.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong sejak Zainal Abidin Bakar, yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021.

Tajuddin sebelum ini juga pernah menyertai delegasi rasmi ketika lawatan kerja Ismail Sabri ke Indonesia bertemu Presiden Jokowi pada November tahun lalu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN