SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan dua rang undang-undang berkaitan syariah bagi membolehkan mahkamahnya dijalankan secara dalam talian dengan sah.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, dua rang undang-undang (RUU) tersebut adalah Enakmen Pentadbiran Agama (Pindaan) 2022 dan Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Pindaan) 2022.
“Keperluan bagi memperkenalkan rang undang-undang ini adalah supaya kes mahkamah dapat dijalankan secara dalam talian, secara sah. Kita mahu bersiap sedia sekiranya terdapat apa-apa peristiwa atau wabak yang melanda negara ini pada masa akan datang,” katanya hari ini.
Ketika sesi aturan mesyuarat Mesyuarat Kedua Sidang Ke-5 DUN Selangor ke-14 hari ini, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju meluluskan dua rang undang-undang itu.
Sementara itu, Mohd. Zawawi yang merupakan ADUN Sungai Kandis memaklumkan sejumlah 3,773 kes yang dikendalikan secara dalam talian di semua Mahkamah Rendah Syariah seluruh Selangor ketika ini.
Beliau berkata, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewartakan enakmen itu. – UTUSAN










