MACHANG: Dua sekawan yang masing-masing mempunyai 11 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah dicekup selepas mereka dipercayai mencuri sarang kelulut yang diusahakan seorang penternak di Kampung Kuala Merabang, Pulai Chondong di sini baru-baru ini.
Kedua-dua suspek yang berusia 39 dan 50 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di kampung tersebut pada Rabu lalu dan kelmarin selepas polis menerima laporan daripada pemilik sarang kelulut itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Mohd. Zahir Abdullah berkata, mangsa yang berusia 69 tahun menyedari sarang kelulut yang diusahakannya itu dicuri selepas tiang tangki air untuk ternakan tersebut rosak.
Menurutnya, kerosakan itu menyebabkan lelaki itu mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM500.
“Berdasarkan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun pada Rabu lalu. Hasil soal siasat terhadap suspek, kita berjaya memberkas rakannya yang berusia 50 tahun, kelmarin.
“Siasatan lanjut mendapati, mereka mengaku terlibat dalam kes kecurian sarang kelulut milik mangsa di Kampung Kuala Merabang di sini,” katanya.
Mohd. Zahir memberitahu, berdasarkan maklumat daripada kedua-dua lelaki itu, polis merampas satu kotak sarang kelulut dan beberapa peralatan pertukangan di rumah suspek pertama kira-kira pukul 5.05 petang semalam.
Katanya, semakan turut mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 11 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – UTUSAN