BUTTERWORTH: Sepasang kekasih cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa dipandu secara melawan arus di Kilometer 4.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pukul 12.10 tengah malam.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu secara lawan arus bertembung dengan sebuah kereta jenis Volkswagen.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan penumpang Volkswagen yang masing-masing berusia 25 tahun dan 27 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut.
“Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya (HSJ). Bagaimanapun, kita belum menerima sebarang laporan polis yang dibuat oleh pemandu Mitsubishi Triton,” katanya.
Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










