Dua anggota polis didakwa rasuah - Utusan Malaysia

Dua anggota polis didakwa rasuah

AHMAD Ibrahim keluar daripada kamar Mahkamah Sesyen selepas berdepan pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM900 yang didakwa dilakukannya kira-kira enam tahun lalu.

Tertuduh, Faudzi Mat Desa, 58, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim Juraidah Abbas.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Mahang, di Kulim, dekat sini didakwa menerima rasuah berjumlah RM250 untuk setiap pertuduhan, manakala untuk pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh rasuah bernilai RM150.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 April, 12 Mei, 8 Jun dan 11 Mac 2016 kira-kira pukul 7.15 petang, 5.36 petang, 9.35 malam serta 12.51 tengah hari.

Untuk pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Pekan Mahang, manakala untuk pertuduhan keempat, kesalahan dilakukan di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.

Selain empat pertuduhan tersebut, Faudzi turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama bekas Ketua Balai Polis Mahang, Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim, 62.

Kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama menerima rasuah berjumlah RM550 di sebuah restoran dekat Taman Mutiara, Sungai Kob dalam daerah Kulim kira-kira pukul 8.43 malam pada 1 Julai 2016.

Ahmad yang kini sudah bersara turut tidak mengaku bersalah dan berdepan satu lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM300.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12.56 tengah hari pada 25 Julai 2016 di Kedai Makan Cucur Udang di tepi jalan Sungai Kob menuju ke Mahang di Sungai Karangan, Kulim.

Kesemua wang suapan tersebut didakwa diterima daripada seorang lelaki yang kini berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk mereka tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang individu lain.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694), manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.

Hakim menetapkan kadar jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin untuk semua kes dihadapi Faudzi, manakala Ahmad dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 juga dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mereka difahamkan membayar jaminan tersebut dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya