GEORGETOWN: Draf Akhir Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown (Penggantian) selesai dan sedia dibentangkan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) untuk kelulusan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, RKK Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (Penggantian) itu diluluskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Rancangan Kawasan Khas yang berlangsung semalam.
”Mesyuarat Jawatankuasa Khas RKK ini bersidang dan meluluskan secara prinsip Draf Akhir RKK Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown (Penggantian) untuk dibawa ke JPN dan proses menetapkan tarikh program publisiti serta penyertaan awam.
”Proses publisiti tertakluk kepada keperluan undang-undang iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),” katanya di sini semalam.
RKK didatangkan dalam dua jilid iaitu yang pertama pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan kedua mengawal penggunaan tanah serta pembangunan dalam tapak warisan.
RKK akan disemak setiap lima tahun dan kali terakhir diwartakan adalah pada 2016 serta disemak tahun lalu. Georgetown akan meraikan ulang tahun ke-14 sebagai Tapak Warisan Dunia, bersama Melaka, oleh UNESCO pada Khamis ini.
Menurut Jagdeep, program publisiti dan penyertaan awam membolehkan semua pandangan, input dan cadangan daripada seluruh warga Pulau Pinang diambil kira yang mana ia adalah dasar kerajaan negeri yang prihatin terhadap rakyat. – UTUSAN









