LANGKAWI: Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan beliau menerima dana berjumlah RM2.6 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) seperti dilaporkan semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu juga menyatakan beliau bersedia untuk dipanggil bagi menjawab dakwaan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tak terima (RM2.6 juta), kalau dia boleh (bagi) bukti saya terima, tunjuk bukti. Ini nak cakap, senang.
“La (Sekarang) ini kalau ada orang bagi duit dekat saya, tunjuklah, siapa dia yang bagi. Dia mengaku atau pun tidak dia bagi duit. Saya tak pernah terima duit daripada orang lain,” katanya ketika ditemui selepas berjumpa Pengusaha-Pengusaha Bot Pelancong di Jeti Tanjung Rhu, di sini, petang semalam.
Dr. Mahathir turut meminta pihak tertentu yang mendakwanya mempunyai wang simpanan sehingga berbilion ringgit di negara asing untuk menunjukkan bukti bagi dakwaan tersebut.
“Bank punya akaun pun ada. Pi (Pergi) carilah. Nak tengok akaun bank saya boleh, takdak (tiada) masalah,” ujarnya.
Tambahnya, setakat kini, beliau masih belum dipanggil oleh mana-mana pihak bagi menjawab dakwaan tersebut.
Pagi tadi, Ahli Parlimen Langkawi itu didakwa menjadi antara salah seorang penerima dana daripada UKSB yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO.
Dr. Mahathir dikatakan menerima dana sebanyak RM2.6 juta secara tidak langsung daripada anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar seperti didakwa saksi pendakwaan ke-17, David Tan Siong Sun ketika lejar UKSB dirujuk dalam prosiding hari ini. – UTUSAN