Ditampar kerana tidak pandang muka ketika bersalam

Ditampar kerana tidak pandang muka ketika bersalam

TANGKAP layar video kejadian seorang anggota TLDM ditampar oleh seorang jemaah selepas bersalam di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM Lumut, kelmarin. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tergamam apabila ditampar seorang jemaah gara-gara tidak memandang muka ketika bersalaman selepas solat asar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM Lumut itu, mangsa berusia 30-an mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga akibat kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, polis menerima laporan daripada mangsa menyatakan suspek yang tidak dikenalinya menampar belakang kepalanya dan mengenai telinga sebelah kanan dengan kuat sebaik sahaja bersalaman selepas solat asar.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca kerana mangsa tidak memandang muka suspek semasa bersalaman menyebabkannya menjadi berang dan beranggapan bahawa mangsa bersikap kurang ajar dengannya.

“Siasatan juga mendapati suspek adalah bekas anggota TLM berusia 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua pihak dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah. 

Jelas beliau, hasil rakaman percakapan yang diberikan, mangsa dalam kes itu tidak mahu meneruskan siasatan dan menarik semula laporan polis yang mana kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau memaklumkan, video kejadian itu yang berdurasi 37 saat didapati tular dalam media sosial Twitter malam tadi.

“Polis IPD Manjung menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak  membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini dan tidak menularkan video  tersebut kerana kes ini telah selesai,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya