Dadah haram seperti arak - Utusan Malaysia

Dadah haram seperti arak

MUHAMAD Faizul Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUTAKHIR ini media banyak melaporkan kes-kes jenayah tragis seperti anak kelar ibu, suami bunuh isteri, bapa bunuh anak dan bunuh diri sendiri yang menimbulkan kegerunan dalam kalangan masyarakat.
Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati kebanyakan kes tersebut berpunca daripada penyalahgunaan dadah melampau sehingga menyebabkan halusinasi yang menguasai kesempurnaan akal kurniaan Sang Pencipta.
Berkongsi pandangan berkait masalah ini bersama Mingguan Malaysia, Muhamad Faizul Husain berkata, apabila benda yang memabukkan dimasukkan ke dalam badan ia boleh menyebabkan ‘gangguan’ pada akal fikiran walaupun sekadar untuk keseronokan pada peringkat awal.
Menurutnya, benda yang memabukkan boleh dinikmati dengan meminum cairannya atau menyedut asapnya menerusi pelbagai kaedah yang dicipta sendiri bagi ‘melampiaskan’ nafsu ketagihan dan sebagainya.
“Di dalam al-Quran, minuman memabukkan dirujuk sebagai ‘khamr’. Firman Allah SWT terkandung dalam surah al-Maidah ayat ke-90, di mana khamr digambarkan sebagai ‘al-rijs’ iaitu kotoran najis yang termasuk dalam perbuatan syaitan dan pencetus permusuhan (al-’adawah) dan benci-membenci (al-baghda’).
“Ketegasan Allah SWT dengan amaran kepada umat manusia untuk menjauhinya. Perihal memabukkan ini juga berkait penggunaan dadah di zaman moden yang turut memabukkan sehingga ulama sepakat meletakkan penyalahgunaannya sebagai haram di sisi Islam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas kebimbangan itu, Muhamad Faizul berkata, cabaran penyalahgunaan dadah seperti syabu, pil kuda dan pelbagai jenis dadah sintetik lain menular dalam kehidupan umat Islam kerana ramai yang meletakkan taraf pelbagai jenis dadah yang berjisim bukan sebagai arak yang memabukkan.
Menurutnya, pendidikan untuk membenci dadah dan arak perlu diperhebatkan di sekolah hinggalah ke mimbar masjid dengan berterusan.
“Tiada dadah halal jika disalahgunakan dan tiada arak halal sekalipun bercukai dan berlesen kerana hukum Allah semua yang memabukkan adalah perbuatan syaitan yang amat keji.
“Saya hairan dengan desakan sesetengah pihak untuk mengkaji dan menghalalkan penanaman ganja dan ketum untuk tujuan perubatan apabila menyaksikan negara bukan Islam berdekatan mengambil langkah yang berasaskan perniagaan,” katanya.
Sekiranya kerajaan membenarkan penanaman secara terbuka atau terkawal, katanya, pastinya banyak anak muda akan menyalahgunakan bahan itu.
Contohnya, ketum yang asalnya digunakan untuk perubatan tradisional namun kini dicampur aduk rebusan dengan ubat batuk dan bahan lain untuk mencapai tahap khayal yang tinggi.
“Oleh itu, penjagaan agama, diri, harta, akal serta keturunan perlu diperkukuhkan. Penyakit sosial kronik akan terus bertambah kerana ramai yang panjang akal untuk berkhayal dan berkeadaan mabuk yang bercanggah dengan tuntutan Islam,” ujarnya.
Menurutnya, berasaskan kajian saintifik ganja atau marijuana adalah spesies tumbuhan kanabis mencakupi Cannabis Sativa, Cannabis Indica dan Cannabis Inderalis yang mengandungi lebih 460 bahan kimia termasuk tiga bahan utama yang memberikan kesan kepada manusia iaitu 9-delta- tetrahidrocannabinoids, cannabinol dan cannabidiol.
“Gambarannya lebih menjurus kepada kemudaratan akal selain menjadi langkah pemula untuk menagih dadah sintetik yang lebih berbahaya.
“Ganja dan ketum popular di negara ini sebagai bahan yang disalahguna. Penagih mengambil ganja dengan tujuan mendapat ‘euforia’, menghilangkan malu atau kononnya memudahkan interaksi sosial dan mengurangkan stres. Hakikatnya ia bukanlah penawar,” ujarnya.
Muhamad Faizol berkata, ulama Ibnu Taimiyah ketika menjawab pertanyaan hukum ganja yang diajukan kepadanya telah menegaskan penggunaan ganja hukumnya haram, baik memabukkan ataupun tidak.
Tambahnya, Ibnul Qoyyim Al-Jauziyah pula menegaskan setiap yang memabukkan adalah dalam kategori khamr, baik cairan mahupun madat atau berjisim, yang diperah mahupun yang dimasak.

MUHAMAD FAIZUL HUSAIN
» Asal: Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
» Umur: 47 tahun
» Pendidikan:
 Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.
 Pondok Pengajian Islam Seligi
 Pondok Kedi Patoni, Wilayah Selatan Thailand
 Hadratulmaut, Yaman
 Markaz Nil, Kaherah, Mesir
» Tugasan hakiki:
Mengajar kitab Usuluddin, Fikah dan Tauhid di Kelantan dan Terengganu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN