KOTA KINABALU: Hentikan perbuatan melaga-lagakan kepimpinan parti dengan mengeluarkan senarai pimpinan yang tidak diketahui kesahihannya.
Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, secara peribadi beliau berpendapat pertembungan antara pemimpin dalam parti perlu dihentikan.
“Jangan sampai ada pihak tertentu yang mengipas dan melaga-lagakan pimpinan kita seperti yang kita lihat dalam majlis sebegini, kita berada dalam kerajaan yang mempunyai wadah yang sama sebab itu usaha melaga-lagakan pemimpin kita sama ada dalam parti mahupun kerajaan mesti dihentikan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, jemaah menteri atau majlis tertinggi, kedua-dua mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan situasi sebegini dapat dibendung.
Menurut beliau, UMNO daripada dahulu tidak asing dengan situasi yang memerlukan kepimpinan parti merapatkan barisan hadapan.
“Pada akhirnya, mereka akan tetap berhadapan dengan pemilihan dan ahli-ahli parti yang akan menentukan kedudukan pimpinan tertinggi parti.
“Tapi sekarang belum apa-apa lagi, kita sudah berbalah sesama kita. Budaya ini bukan sahaja tidak sihat malah, memberi mesej dan gambaran kepada orang luar bahawa kita macam tak bertanggungjawab.
“Jadi kalau nak tanya saya, secara peribadi stop it (hentikanlah),” katanya.
Mengulas lanjut katanya, senarai yang tular itu akan menjadi lebih banyak apabila pemilihan parti semakin hampir. Itu sudah menjadi kebiasaan dalam parti.
Jelas beliau, perbalahan dalam parti perlu segera dibendung agar tidak berlarutan kerana dikhuatiri rakyat akan menghukum mereka.
Walau bagaimanapun, perbalahan di dalam parti ini bukan hanya berlaku dalam UMNO-BN tetapi juga dalam parti-parti lain. Maka, tidak adil jika hanya fokus kepada UMNO sahaja.
Hishammuddin berkata, beliau yakin pimpinan UMNO terdahulu telah berhadapan dengan situasi pertembungan yang lebih hebat namun, ia tidak jejaskan wadah perjuangan UMNO sebagai parti yang diharapkan oleh rakyat.
Justeru, beliau meletak harapan agar mereka mampu meyakinkan orang ramai bahawa parti ini masih boleh diharapkan dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan politik di negara ini.
Sejak beberapa hari lalu, senarai pimpinan UMNO bagi kem yang bertentangan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tular dalam media sosial.
Antara yang tersenarai dalam pimpinan baharu itu adalah Hishammuddin yang dikatakan akan memegang jawatab Naib Presiden UMNO.- UTUSAN










