ALOR SETAR: Satu kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk yang terkesan akibat tragedi kepala air dan bencana banjir dikesan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, mangsa yang positif kategori dua itu diasingkan di wad isolasi Hospital Baling.
Katanya, tiga kontak rapat dikenal pasti dan diasingkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas dan menerusi ujian RTK-Ag yang dilakukan, ketiga-tiga mereka yang tidak bergejala itu didapati negatif.
“JKN turut menjalankan pemantauan terhadap penyakit berjangkit dalam kalangan penduduk yang terlibat terutama Covid-19, penyakit seakan Influenza (ILI), leptospirosis, cirit-birit dan penyakit bawaan makanan dan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Othman berkata, pasukan pengawasan kesihatan persekitaran terus menjalankan pemeriksaan dan pengawasan berkala yang melibatkan pencegahan lipas, lalat dan tikus serta nyamuk di tiga PPS yang dibuka di daerah itu.
“Pemeriksaan ini bagi memastikan kebersihan persekitaran berada pada tahap terbaik untuk kesihatan dan keselesaan mangsa dan para petugas di sana. Sehingga pukul 8 malam tadi, tiga PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Al-Khairiah dan Surau An-Nur.
“Bagi memastikan tahap kesihatan penduduk di semua PPS terjamin, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling meneruskan perkhidmatan klinik perubatan statik melibatkan tiga pasukan perubatan dengan kekuatan 12 anggota,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga telah menggerakkan Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial yang membuat penilaian respons psikososial di lapangan serta memberi bantuan kecemasan psikososial kepada mangsa banjir yang terkesan. – UTUSAN










