KUALA TERENGGANU: Bekas calon bebas tertua Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan PRU-13, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun meninggal dunia akibat sakit tua di sini, hari ini.
Maimun, 103, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol di sini kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Menurut cucunya, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, kesihatan arwah neneknya itu merosot sejak empat bulan lalu selepas disahkan menghidap sakit buah pinggang.
“Kami sekeluarga baru menyambut ulang tahun kelahiran nenek yang ke-103, 24 Jun lalu dan ketika itu arwah disahkan mempunyai masalah kesihatan.
“Doktor memaklumkan dia mengalami kebocoran pada bahagian buah pinggang, kerosakan pada organ hati dan kanser.
“Saya menerima panggilan daripada salah seorang ahli keluarga yang menjaga arwah hari ini memaklumkan nenek sudah menghembuskan nafasnya ketika berehat di rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tuan Norazlina berkata, arwah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol, 10 pagi esok.
Maimun pernah bertanding dalam PRU-12 dan PRU-13 sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu namun tewas kedua-dua PRU. –UTUSAN ONLINE